Sesi Penyerahan Sumbangan Tijari Bagi Program Ihya’ Ramadhan 2025
Shah Alam, 25 Mac 2025 – Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI) terus komited dalam usaha menyantuni masyarakat dan mengimarahkan bulan Ramadhan dengan menyalurkan sumbangan keseluruhan berjumlah RM254,130.00 kepada masjid, surau, sekolah serta pertubuhan di seluruh Negeri Selangor sempena pelaksanaan Program Ihya’ Ramadhan 1446H / 2025M.
Penyerahan sumbangan ini telah disempurnakan oleh Dato’ Haji Mohd Shahzihan Bin Ahmad, S.S. Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merangkap Pengerusi TIJARI, bersama-sama Puan Siti Razmah Binti Idris, Timbalan Pengarah Operasi JAIS merangkap Timbalan Pengerusi TIJARI serta Ustaz Haji Hashim Bin Muhamad, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid JAIS merangkap Setiausaha TIJARI.
Sumbangan ini telah diagihkan kepada institusi Islam di setiap daerah Selangor yang mengemukakan permohonan kepada TIJARI. Antara yang menerima manfaat termasuklah Masjid dan surau untuk program tadarus, iftar, qiyamullail dan majlis ilmu. Sekolah agama dan madrasah untuk aktiviti kerohanian pelajar sepanjang Ramadhan. Dan terakhir sekali Pertubuhan Islam tempatan yang menganjurkan program kebajikan dan dakwah.
Langkah ini membuktikan komitmen TIJARI dalam memastikan keberkatan Ramadhan dapat dirasai oleh seluruh umat Islam, tanpa mengira lokasi, serta menjadi pemangkin kepada budaya infak dan amal jariah dalam masyarakat.