Perkhidmatan
Manfaat dana TIJARI untuk Ummah
Pemerkasaan Syiar & Keagungan Islam
Pengukuhan Akidah Ahlu Sunnah Wal Jamaah
Pemantapan Ilmu & Pendidikan
Pengupayaan Peranan & Fungsi Institusi Islam
Pemerkasaan Agenda Kebajikan & Keprihatinan Sosial
Pemberdayaan Sosio & Ekonomi dan Pembelanjaan Lain dan Bantuan Pelbagai
Perkhidmatan
Bantuan Pengimarahan Masjid dan Surau Negeri Selangor
Masjid merupakan institusi penting dalam Islam yang bukan sahaja berfungsi sebagai tempat pelaksanaan ibadah solat lima waktu, malah turut memainkan peranan yang signifikan dalam aspek kemasyarakatan dan sosial serta menjadi lambang persaudaraan dan kesatuan umat Islam. Seiring dengan kedudukannya sebagai entiti yang menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI) mengambil inisiatif untuk membantu masjid dan surau di sekitar Negeri Selangor yang berdepan kekangan dana pengimarahan melalui penyaluran bantuan kewangan secara bayaran sekali beri (one-off payment). Bagi tujuan permohonan, pihak pemohon dikehendaki mengemukakan surat permohonan rasmi, kertas kerja program serta salinan penyata bank terkini yang telah diperakui sah. Semua dokumen permohonan hendaklah dihantar ke alamat e-mel rasmi TIJARI di Send us an email tijari.jais@gmail.com
sekurang-kurangnya satu (1) bulan sebelum tarikh pelaksanaan program bagi membolehkan proses penilaian dan penyelarasan dilaksanakan oleh pihak Sekretariat TIJARI. Bagi memastikan pengagihan bantuan yang lebih teratur dan saksama, setiap institusi hanya dibenarkan mengemukakan permohonan tidak melebihi tiga (3) kali dalam tempoh satu (1) tahun.
Bantuan Bencana Negeri Selangor
Bantuan bencana merupakan salah satu inisiatif yang disediakan oleh Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI) bagi membantu institusi masjid dan surau, institusi pendidikan serta masyarakat Islam yang terjejas akibat bencana atau musibah seperti banjir, ribut, kebakaran dan lain-lain kejadian yang berlaku di Negeri Selangor. Bagi tujuan penyelarasan dan pemantauan, sebarang makluman berkaitan kejadian bencana hendaklah disalurkan terlebih dahulu kepada Pegawai Tadbir Agama di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) masing-masing sebelum pihak Sekretariat TIJARI dengan kerjasama PAID berkaitan menyalurkan bantuan kewangan secara terus kepada pihak yang terkesan. Bantuan ini disalurkan dalam bentuk bayaran sekali beri (one-off payment) sebagai langkah segera untuk meringankan beban mangsa, di samping sebagai tanda keprihatinan TIJARI dalam membantu pihak yang terjejas menghadapi kesan awal bencana, khususnya dalam memenuhi keperluan asas serta meneruskan kehidupan seharian dalam tempoh pemulihan awal.
Bantuan Pendidikan Negeri Selangor
Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI) menyediakan bantuan bagi menyokong pelaksanaan program-program kerohanian dan akademik yang dianjurkan oleh sekolah-sekolah serta institusi pendidikan di Negeri Selangor, khususnya dalam usaha memperkasa pembangunan sahsiah, kefahaman agama serta kecemerlangan pendidikan dalam kalangan pelajar. Bantuan ini bertujuan membantu institusi pendidikan merancang dan melaksanakan program yang memberi impak positif kepada pembentukan jati diri serta peningkatan kualiti pembelajaran. Dalam menilai setiap permohonan yang diterima, pihak TIJARI akan memberi keutamaan kepada sekolah-sekolah dan institusi pendidikan yang berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), di samping mengambil kira keperluan sebenar pemohon berdasarkan kedudukan kewangan semasa institusi tersebut. Pendekatan ini dilaksanakan bagi memastikan agihan bantuan adalah lebih bersasar, telus dan memberi manfaat kepada institusi yang benar-benar memerlukan dalam mendukung usaha pembangunan ummah di Negeri Selangor.
Bantuan Kurang Upaya
Objektif penubuhan dan peranan yang dimainkan oleh Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI) adalah untuk mengumpul dana khas umat Islam bagi memajukan agama Islam, faedah, kepentingan, pemerdayaan dan pembangunan umat Islam di Negeri Selangor. Hasrat untuk menyempurnakan visi dan misi TIJARI akan tercapai sekiranya program-program yang dianjurkan adalah berbentuk kebajikan dan keprihatinan sosial ke arah mendekati masyarakat bagi menonjolkan fungsi TIJARI yang sebenar. Rentetan itu, para penderma dapat meningkatkan keyakinan terhadap TIJARI dan menjadikan tabung ini sebagai salah satu platform untuk meraih saham ukhrawi
Manfaat Penggunaan Wang Tabung
