PENYERAHAN SUMBANGAN BAIK PULIH KEPADA MASJID JAMIATUL ISLAHIAH, SABAK BERNAM SEMPENA LAWATAN TURUN PADANG PENGERUSI MAJLIS AGAMA ISLAM SELANGOR (MAIS)

Sabak Bernam, 14 April 2026 – Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI) telah menyempurnakan penyerahan sumbangan kepada Masjid Jamiatul Islahiah, Sabak Bernam sempena lawatan turun padang Yang Amat Dihormati (YAD) Senator Dato’ Setia Haji Salehuddin bin Saidin, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) ke Daerah Sabak Bernam.

Melalui sumbangan berjumlah RM20,000, bantuan tersebut disalurkan bagi menyokong usaha baik pulih dan penambahbaikan kemudahan Masjid Jamiatul Islahiah agar dapat menyediakan persekitaran yang lebih selesa, kondusif dan selamat kepada para jemaah, di samping memperkukuhkan pelaksanaan aktiviti ibadah, pendidikan serta pengimarahan masjid.

Sumbangan telah disampaikan oleh YAD Senator Dato’ Setia Haji Salehuddin bin Saidin, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) kepada pihak pengurusan Masjid Jamiatul Islahiah sebagai simbolik penyerahan sumbangan daripada TIJARI. Majlis penyerahan tersebut turut diiringi oleh Tuan Haji Mohd Sabirin bin Mohd Sarbini, Setiausaha MAIS, S.S. Dato’ Haji Mohd Shahzihan bin Ahmad, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merangkap Pengerusi TIJARI, serta Ustaz Hashim bin Muhamad, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid JAIS merangkap Setiausaha TIJARI.

Penyaluran sumbangan ini membuktikan komitmen berterusan TIJARI dalam memperkasakan institusi masjid di Negeri Selangor melalui bantuan kewangan yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat. Diharapkan sumbangan yang disalurkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi meningkatkan kemudahan Masjid Jamiatul Islahiah serta memperkukuhkan peranannya sebagai pusat ibadah, pendidikan dan pembangunan ummah di Daerah Sabak Bernam.

Follow by Email
YouTube
Instagram
Telegram
Tiktok