PENYERAHAN SUMBANGAN BAIK PULIH KEPADA SURAU PARIT 11 TENGAH SEMPENA LAWATAN TURUN PADANG PENGERUSI MAJLIS AGAMA ISLAM SELANGOR (MAIS)

Sabak Bernam, 14 April 2026 – Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI) telah menyempurnakan penyerahan sumbangan baik pulih kepada Surau Parit 11 Tengah, Sabak Bernam sempena lawatan turun padang Yang Amat Dihormati (YAD) Senator Dato’ Setia Haji Salehuddin bin Saidin, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) ke Daerah Sabak Bernam.

Melalui sumbangan berjumlah RM10,000, bantuan tersebut disalurkan bagi membiayai kerja-kerja baik pulih dan penambahbaikan kemudahan Surau Parit 11 Tengah agar dapat menyediakan persekitaran yang lebih selesa, kondusif dan selamat kepada para jemaah serta masyarakat setempat dalam melaksanakan aktiviti ibadah serta pengimarahan surau.

Sumbangan telah disampaikan oleh YAD Senator Dato’ Setia Haji Salehuddin bin Saidin, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) kepada pihak pengurusan Surau Parit 11 Tengah sebagai simbolik penyerahan sumbangan baik pulih daripada TIJARI sempena lawatan turun padang beliau ke Daerah Sabak Bernam. Majlis penyerahan tersebut turut diiringi oleh Tuan Haji Mohd Sabirin bin Mohd Sarbini, Setiausaha MAIS, serta Ustaz Hashim bin Muhamad, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid JAIS merangkap Setiausaha TIJARI.

Penyaluran sumbangan ini mencerminkan komitmen berterusan TIJARI dalam membantu meningkatkan kemudahan institusi masjid dan surau di Negeri Selangor melalui pembiayaan projek-projek baik pulih yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat. Diharapkan sumbangan yang diberikan dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan Surau Parit 11 Tengah terus berfungsi sebagai pusat ibadah, pendidikan dan pembangunan ummah yang selesa, kondusif serta mampu memenuhi keperluan masyarakat setempat.

Follow by Email
YouTube
Instagram
Telegram
Tiktok