TABUNG INFAK JARIAH UMAT ISLAM SELANGOR (TIJARI) MENYERTAI MISI BANTUAN PASCA BANJIR PANTAI TIMUR 2024

Kelantan, 13 – 15 Disember 2024 – Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI) bersama Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Selangor telah menyertai Misi Bantuan Pasca Banjir 2024 yang melibatkan negeri-negeri di Pantai Timur dan Utara Malaysia.

Delegasi telah berada di Negeri Kelantan selama tiga (3) hari bagi melaksanakan penyerahan sumbangan keseluruhan berjumlah RM598,600.00 yang merangkumi bantuan kewangan dan pek bantuan makanan kepada mangsa-mangsa banjir. Penyerahan cek cura dan bantuan telah disampaikan oleh Encik Zaharudin Salim dan diterima oleh YABhg. Dato’ Haji Mohd Anis bin Hussien, Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan di Masjid Sultan Mansor, Kota Bharu.

Selain sesi penyerahan sumbangan, delegasi turut melaksanakan operasi pembersihan secara gotong-royong bersama agensi-agensi terlibat serta mengagihkan set bantuan makanan kepada penduduk terjejas di Kampung Kajang Sebidang, Tumpat.

Misi bantuan ini melibatkan kolaborasi strategik pelbagai agensi dan institusi di bawah pentadbiran hal ehwal Islam Negeri Selangor iaitu Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Mufti Negeri Selangor (JMNS), Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS), Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor (JPSS), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Lembaga Zakat Selangor (LZS), Perbadanan Wakaf Selangor (PWS), Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE), Bakti Suci Holdings Sdn. Bhd. (BSHSB), Teraju Ekonomi Asnaf Sdn. Bhd. (TERAS), Universiti Islam Selangor (UIS) serta Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI).

Daripada jumlah keseluruhan tersebut, TIJARI telah memperuntukkan sumbangan berjumlah RM412,560.00 dalam bentuk barangan bagi tiga (3) negeri yang terlibat sebagai tanda solidariti dan keprihatinan terhadap masyarakat yang terkesan akibat bencana banjir.

Penyertaan dalam misi ini mencerminkan komitmen berterusan TIJARI dan agensi-agensi terlibat dalam memperkukuh jaringan kebajikan antara negeri serta memastikan bantuan disalurkan secara terancang, bersepadu dan berimpak tinggi kepada golongan yang memerlukan.

Adalah diharapkan usaha kolaboratif ini dapat mempercepat proses pemulihan pasca bencana dan seterusnya menyuntik semangat serta kekuatan baharu kepada masyarakat yang sedang bangkit meneruskan kehidupan.
Follow by Email
YouTube
Instagram
Telegram
Tiktok