MAIS & JAIS JAYAKAN PROGRAM MULTAQA PENTADBIR MASJID NEGERI SELANGOR 2025
IPOH, 22 Disember 2025 – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan sokongan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) serta kerjasama Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI) telah menganjurkan Program Multaqa Pentadbir Masjid Negeri Selangor Tahun 2025 sebagai usaha berterusan memperkukuh tadbir urus, kepimpinan dan profesionalisme pentadbiran masjid di seluruh Negeri Selangor.
Majlis perasmian program telah disempurnakan oleh Yang Amat Dihormati Senator Dato’ Setia Hj. Salehuddin bin Saidin, Pengerusi MAIS. Program ini turut dihadiri oleh Sahibus Saadah Dato’ Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, yang juga Pengerusi Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI), serta Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid (BPM) JAIS selaku Setiausaha TIJARI, bersama barisan pengurusan JAIS dan para pentadbir masjid dari seluruh Negeri Selangor.
Program Multaqa kali ini menjadi platform pengiktirafan dan penghargaan kepada seluruh Nazir dan Pengurus Masjid Negeri Selangor, khususnya mereka yang telah dilantik bagi Sesi 2026–2030, setelah melalui proses penilaian Panel Timbang Tara Peringkat Daerah dan pengesahan Mesyuarat Jawatankuasa Tadbir Urus Masjid dan Surau Negeri Selangor ( JATUMS).
Penganjuran program ini memberi penekanan kepada peningkatan kefahaman pentadbir masjid terhadap aspek perundangan, peraturan dan garis panduan pengurusan masjid, di samping memperkasa peranan masjid sebagai pusat ibadah, keilmuan, dakwah dan keprihatinan komuniti setempat. Program ini turut menjadi medium pembangunan kapasiti bagi melahirkan pentadbir masjid yang berwibawa, profesional, berdaya saing dan berdaya tahan dalam mendepani cabaran semasa.
Program Multaqa Pentadbir Masjid Negeri Selangor ini merupakan penganjuran kali kedua selepas kejayaan penganjuran sulung pada tahun 2023, yang telah memberi impak positif terhadap penambahbaikan sistem tadbir urus masjid di Negeri Selangor.
Bagi memastikan kelancaran dan keberkesanan pelaksanaan program, TIJARI bersama MAIS dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah menyalurkan sumbangan kewangan bagi menjayakan penganjuran Program Multaqa ini, sejajar dengan peranan TIJARI dalam menyokong pembangunan institusi masjid serta pemerkasaan pengurusan hal ehwal Islam di Negeri Selangor.
